KUALA LUMPUR – Menyedari bahawa orang pekak juga sebahagian daripada masyarakat, sebanyak 29 orang melibatkan kakitangan awam dan swasta mengambil inisiatif belajar Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
Peserta terbabit sanggup mengeluarkan kewangan sendiri bagi menimba ilmu dan kemahiran mengenai bahasa isyarat yang dikendalikan oleh tenaga pengajar dari Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).

Kalangan peserta tersebut termasuk guru tadika, penjawat awam dan juga kakitangan barisan hadapan.
Harapan mereka, dengan belajar BIM, bukan sahaja dapat menambah ilmu sedia ada, malah secara langsung menyelami komuniti pekak selain membantu mereka.
Kalangan peserta terbabit belajar bahasa isyarat tahap satu selama empat hari yang diadakan di Institut Sosial Malaysia (ISM) di sini.

Pada awal sesi kelas BIM itu, Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Shaari turut menyampai ceramah mengenai peranan komuniti pekak dan pentingnya bahasa isyarat dalam masyarakat.
Kelas BIM itu akan berlangsung selama empat hari sebelum dilanjutkan pada tahap dua dan seterusnya.




