KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan kelas pengajian al-Quran bahasa isyarat untuk orang pekak bermula Mei depan.
Kelas al-Quran bahasa isyarat itu bagi membolehkan komuniti pekak belajar mengaji al-Quran dengan cara betul selain memahami lebih mendalam isi kandungannya.
Timbalan Pengarah Operasi JAWI, Jamali Mohd. Adnan berkata, dengan langkah JAWI itu diharap komuniti pekak merebut peluang berkenaan.
“JAWI merancang mengadakan kelas al-Quran bahasa isyarat bermula Mei depan.
“JAWI sedang mengatur bila, tarikh serta tempat kelas itu akan diadakan.
“Ini merupakan langkah terbaharu JAWI bagi membela komuniti pekak. Ramai kalangan orang pekak mahukan kelas al-Quran bahasa isyarat,” katanya ketika berucap merasmikan program Ihya Ramadan bersama komuniti pekak di Masjid Al-Khadijah, Pantai Dalam di sini.

Program anjuran JAWI itu mendapat kerjasama Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia (PRISMA), Persatuan Orang Pekak Kuala Lumpur (KLSD) dan pengurusan Masjid Al-Khadijah.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), Mohamad Sazali Shaari dan Yang Dipertua PRISMA, Aqlam Jafri.
Sebanyak 200 orang pekak hadir pada program tersebut.
Beras dan barangan kering merupakan antara isi kandungan bakul makanan yang diserahkan kepada 200 orang pekak.
Sementara itu, penceramah bertauliah JAWI, Ustaz Azlan Shah Nabees Khan ketika menyampaikan ceramah berkata, kedatangan Ramadan jangan sekali-kali disia-siakan.

Menurutnya, Ramadan bukan sahaja bulan luar biasa, malah mengandungi pelbagai kelebihan.
Antaranya, kata beliau, keberkatan Lailatul Qadar yang lebih baik daripada 1,000 bulan dan para malaikat turun ke bumi membawa rahmat Allah SWT.
“Sehubungan itu, rebutlah peluang yang ada serta tingkatkan lagi amalan pada 10 terakhir Ramadan,” katanya.




