PUTRAJAYA – Islamic Tourism Centre (ITC) mengorak langkah awal menyediakan kakitangannya dengan pelbagai ilmu dan kemahiran bagi menyemarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Untuk itu, kakitangan ITC dilihat sudah bersiap sedia bagi membantu pemandu pelancong di negara ini dari segi kemahiran serta ilmu yang diperolehi.
Menjadi harapan ITC, usaha tersebut dapat memberi pendedahan kepada pemandu pelancong mengenai kekayaan dan kemasyhuran destinasi di negara.
Pemangku Ketua Pengarah merangkap Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Latihan ITC, Nur Alyssa Coraline Yussin memberitahu, antara usaha ITC ialah menyediakan setiap kakitangannya dengan kemahiran bahasa isyarat.
Untuk itu, kata beliau, pihaknya telah mengadakan kerjasama dengan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) untuk melengkapkan setiap kakitangan ITC dengan pengetahuan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).
“Harapan ITC, dengan kemahiran bahasa isyarat yang diperoleh dari kelas-kelas BIM dikendalikan oleh MFD, kakitangan ini dapat berkongsi serta menyalurkan pula pengetahuan tersebut kepada para pemandu pelancong.
“Pengetahuan ini kelak dapat membantu pelancong termasuk komuniti pekak sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Adalah satu kerugian apabila kedatangan pelancong termasuk komuniti pekak, tidak kita manfaatkan sepenuhnya mengenai kemasyhuran destinasi yang terdapat di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika turut serta menjadi peserta bersama kakitangan ITC yang lain mempelajari BIM yang dikendalikan oleh MFD di sebuah hotel di sini.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Shaari.

Menjawab pertanyaan, Nur Alyssa berkata, mempelajari bahasa isyarat merupakan satu pengalaman baharu yang kelak dapat digunakan untuk kakitangannya menyelami komuniti pekak.
“Ini sesuatu yang baharu, kami bukan sahaja teruja mempelajarinya, malah menjadi harapan untuk mendekati komuniti pekak selain sebagai persediaan menerima tetamu termasuk orang pekak pada Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.