
KUALA LUMPUR - Prihatin dengan kehidupan kanak-kanak pekak di bawah seliaan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), sebanyak 24 pelajar dari Amerika Syarikat mengadakan lawatan ke ibu pejabat MFD di Puchong dekat sini.
Kalangan pelajar dari Humanitarian Experience Programme (HXP) itu yang berpejabat di Utah, meluangkan masa lebih tiga jam untuk bermesra dengan lebih 20 kanak-kanak pekak.
Selain mahu menyelami kehidupan kanak-kanak pekak, para pelajar itu turut sedikit sebanyak berkomunikasi dengan kanak-kanak tersebut menggunakan bahasa isyarat.
Malah, sebelum memulakan kunjugan tersebut, para pelajar tersebut terlebih dahulu mempelajar kemahiran bahasa isyarat agar memudahkan mereka berinteraksi dengan kanak-kanak pekak.

Setiausaha Program YMCA Kuala Lumpur, Amelia Cheong Kit Mun yang mengetui lawatan dan aktiviti melibatkan para pelajar tersebut memberitahu, ia merupakan lawatan pertama mereka ke MFD pada tahun ini.
Jelasnya, kunjungan seperti itu akan melibatkan beberapa sesi lagi pada tahun ini dengan kumpulan lain-lain pelajar dari Amerika Syarikat.
“Tahun lepas, kita mengadakan lima sesi lawatan dan berinteraksi dengan kanak-kanak pekak di bawah seliaan MFD.
“Lawatan berterusan ini membolehkan para pelajar berkenaan berinteraksi dan berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat,” katanya.

Selain berinteraksi dengan kanak-kanak pekak, kumpulan pelajar tersebut juga menyertai permainan berkumpulan dan menyelia aktiviti melukis.
Di samping itu,melalui lawatan dan aktiviti yang disertai, para pelajar tersebut juga dapat belajar bahasa isyarat yang digunakan oleh kanak-kanak pekak berkenaan untuk berkomunikasi.