PUCHONG – “Selagi Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) ini wujud, selagi itulah persekutuan ini akan terus menerbitkan buku-buku Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) demi membela nasib komuniti pekak di negara ini.
“Bayangkan…..tanpa buku-buku BIM ini pasti laluan hidup orang pekak lebih sukar. Buku-buku inilah membolehkan orang pekak berada dalam masyarakat umum untuk kelangsungan hidup,” kata Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Shaari.
Itulah kata-kata awal Mohamad Sazali ketika diwawancara di pejabat MFD di sini.
Menurutnya, sejak lebih 26 tahun kewujudkan MFD, sebanyak 18 siri buku BIM keluaran persekutuan itu telah diterbitkan.
Beliau berkata, walaupun jumlah terbitan buku itu yang merangkumi banyak topik BIM mungkin dianggap banyak, namun ia bukan sesuatu yang boleh dianggap sudah mencukupi.
Malah, Mohamad Sazali berkata, MFD akan terus menerbitkan beberapa lagi siri buku yang merangkumi BIM berkaitan topik-topik seperti kesihantan, perubatan, farmasi dan sebagainya.
Juga katanya, masih banyak lagi topik-topik kehidupan dalam masyarakat umum yang perlu diterjemahkan melalui bahasa isyarat agar dapat dikongsi oleh orang pekak.
“Ini termasuk usaha menerbitkan buku-buku BIM yang ada kaitan dengan pendidikan STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) bagi membantu pelajar-pelajar orang pekak menerokai bidang pendidikan,” katanya.
Mohamad Sazali juga mendedahkan, di seluruh dunia terdapat lebih 300 bahasa isyarat yang berlainan diguna oleh orang pekak.

“Ini membuktikan usaha menghasilkan buku BIM itu tidak pernah berakhir dan MFD akan terus berusaha menerbitkan buku-buku baharu dengan pelbagai topik,” katanya.
Di samping itu kata beliau, untuk menerbitkan sesebuah buku BIM dengan topik tertentu, ia bukan sesuatu yang mudah.
“Perlu ada kajian mendalam. Perlu ada interaksi awal sama ada dengan orang pekak sendiri dan masyarakat umum yang memiliki kepakaran dalam bidang berkenaan,” katanya.
Menjawab pertanyaan, Mohamad Sazali berkata, pada awal penerbitan buku-buku BIM, MFD banyak mendapat bantuan luar termasuk dari Sweden, Jepun dan sebagainya.
Susulan dari situ, katanya, wujud kesedaran apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mula menyalurkan bantuan kepada MFD untuk menerbitkan beberapa buku BIM.
“MFD juga mendapat sokongan serta bantuan daripada beberapa pihak yang sangat prihatin dengan keperluan dan nasib orang-orang pekak, antaranya ialah Yayasan Sime Darby yang sejak dulu lagi sentiasa bersama MFD,” katanya mengakhiri perbualan.