Oleh Nur Elisa Sasha dan Siti Norshuhaida
PUTRAJAYA – Bagi dua kakitangan Islamic Tourism Centre (ITC), mengenali dan memahami bahasa isyarat umpama satu dunia baharu bagi mereka.
Sebelum ini mereka langsung tidak mengenali apa itu bahasa isyarat dan peranan jurubahasa.
Setelah menyertai kelas bahasa isyarat yang dikendalikan oleh Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) barulah mereka mengetahui peranan jurubahasa isyarat amat penting bukan sahaja kepada kemajuan negara malah dapat membantu ribuan komuniti pekak.

Tenaga pengajar MFD (kanan) mengajar kakitangan ITC di Putrajaya.
Penolong Eksekutif ITC, Siti Umairah Jaafar, 29, berkata, selama ini dia tidak mengetahui cara untuk berinteraksi dengan orang pekak.

“Setelah saya menyertai kelas bahasa isyarat anjuran MFD, barulah saya dapati peranan jurubahasa isyarat amat besar.
“Jurubahasa isyarat menjadi penghubung antara masyarakat umum dan orang pekak.
“Nampak memang mudah, tapi nak jadi jurubahasa isyarat bukan sahaja memerlukan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran yang mungkin mengambil masa bertahun-tahun.
“Saya dapati seseorang jurubahasa isyarat itu bukan sahaja mempunyai minat malah menjiwai tugasan mereka,” katanya.
Siti Umairah berkata demikian ketika menyertai kelas Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) anjuran MFD di sebuah hotel di sini.
Sementara itu, Eksekutif Pelatih ITC, Izleen Farhanah Husain, 24, berkata, berdasarkan tugasan jurubahasa isyarat amat luas, diharap pihak-pihak berkenaan dapat memperluaskan lagi peranan mereka.

Menurutnya, ini kerana peranan jurubahasa isyarat bukan sahaja sebagai penghubung antara masyarakat umum dengan orang pekak, malah menjadi perantara untuk menyampaikan segala kehendak serta keperluan komuniti pekak.
“Jawatan jurubahasa isyarat ini sesuatu yang menarik. Mereka bertugas secara professional untuk menyampaikan hasrat serta keperluan komuniti pekak.
“Saya difahamkan jumlah mereka sedikit. Diharap MFD dapat menambah jumlah jurubahasa isyarat sedia ada,” katanya.