Oleh Nur Elisa Sasha dan Siti Norshuhaida
TAMBAH ILMU…Bagi 18 pelajar kejururawatan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), kehadiran ke pejabat Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) di Puchong, Selangor, banyak memberi manfaat kepada kerjaya mereka.
Para pelajar tahun tiga bersama seorang pensyarah UTAR itu bukan sahaja diberi taklimat mengenai tanggungjawab besar MFD terhadap komuniti pekak, malah sedikit sebanyak mengetahui peranan Jurubahasa Isyarat Malaysia (JBIM) dan juga isi kandungan bahasa isyarat itu sendiri.
Ia merupakan pendedahan dan pengalaman pertama mereka mengenai bahasa isyarat termasuk cara-cara berinteraksi dengan orang pekak.
Selain itu, kehadiran para pelajar UTAR itu telah memberi kesempatan kepada mereka untuk mengenali serta berinteraksi dengan kanak-kanak pekak dari Taska Istika Jaya di bawah pengurusan MFD.

Kalangan pelajar itu beranggapan bahawa mengenali orang pekak serta mengetahui bahasa isyarat merupakan ilmu yang amat berguna dan boleh diterjemahkan dalam bidang kerjaya kejururawatan apabila berhadapan dengan komuniti pekak.