Usia 9 tahun jadi insan pekak, namun bangkit semula, akhirnya memilik PhD dari Universiti Malaya

Date:

KUALA LUMPUR – Tidak pernah terfikir bagi dirinya yang lahir dengan cukup sifat, namun tiba-tiba berubah ketika berusia sembilan tahun.

Ketika usia berkenaan, dia mengalami demam dan sebaik sahaja bangkit dari tidur, semua yang berada di sekeliling menjadi senyap sunyi.

“Saya hairan apa yang berlaku. Ibu dan ayah bercakap dengan saya. Tapi saya tidak dapat mendengar.

“Ketika itulah hati saya remuk sekali. Saya menangis kerana tiba-tiba tidak dapat  mendengar.

“Kesedihan saya berlarutan dan akhirnya saya terpaksa menerima hakikat bahawa kini saya menjadi insan pekak,” kata Dr. Manal Al-Ashwal Ali Saleh memulakan perbualan.

Berasal dari Taiz, Yemen, beliau telah beberapa tahun tinggal di Malaysia untuk melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di Universiti Malaya. Manal merupakan anak sulung dari enam beradik.

Menceritakan lebih lanjut,  Manal berkata, pada mulanya dia agak mengasingkan diri dari kawan-kawan kerana terasa kekurangan akibat pekak.

Jelasnya, namun atas galakan ahli keluarga serta kawan-kawan sendiri, dia tetapkan semangat untuk cemerlang dalam bidang pelajaran dan seterusnya mengambil inisiatif belajar bahasa isyarat.

Manal berjaya memperolehi ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana dalam bidang biologi dari pusat pengajian tinggi di Yemen.

Ketika itu terfikir pada dirinya untuk melanjutkan pelajaran lagi bagi membuktikan kemampuannya seperti juga insan lain.

Setelah mengetahui mengenai Malaysia melalui siaran televisyen, Manal terus mencari maklumat tambahan terutama berkaitan pusat pengajian tinggi.

“Akhirnya saya tertarik dengan Universiti Malaya.

“Saya diterima masuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya,” katanya.

Setelah beberapa tahun berlajar termasuk sedikit tertangguh ketika penularan  Covid 19, Manal akhirnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) apbila kajiannya mengenai parasit berhasil.

“Ini satu kebanggaan. Keluarga saya di Yemen begitu gembira sekali dan tak sabar untuk menunggu kepulangan saya,” katanya.

Namun dalam kegembiraan memperolehi PhD, Manal sedikit terusik kerana visa pengajiannya di negara ini hampir tamat tempoh.

Ini kerana, beliau sepatutnya hadir pada majlis konvokesyen menerima ijazahnya pada November depan.

“Visa akan tamat tempoh pada akhir Ogos ini.

“Saya hanya boleh dapat visa semula jika pulang dahulu ke Yemen sebelum kembali semula ke Malaysia.

“Namun kemungkinan besar jika saya pulang ke Yemen, saya tidak dapat lagi kembali ke Malaysia untuk menghadiri majlis konvokesyen nanti,” katanya.

Manal menjelaskan, ini kerana kos untuk pulang ke Yemen dan kembali semula ke Malaysia melibatkan perbelanjaan yang amat tinggi.

Tambahan pula katanya, pergolakan yang berlaku di Yemen dan keadaan tidak menentu menyukarkannya untuk kembali semula ke Malaysia.

“Mungkin bukan rezeki saya untuk menerima ijazah doktor falsafah pada majlis konvokesyen setelah sekian lama saya usahakan,” katanya mengakhiri perbualan.

Share post:

Subscribe

spot_imgspot_img

Popular

Artikel Berkaitan
Related

MFD catat sejarah negara, mengorak langkah perkenal portal e-pekak.com, bela nasib komuniti pekak

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya dan seterusnya mencatatkan...

Gelagat  kanak-kanak pekak menjadikan Sukaneka Taska dan Tadika Istika Jaya meriah, menyeronokkan

SUBANG -  Pelbagai ragam kanak-kanak pekak menjadi tumpuan ramai...

Pelajar-pelajar kejururawatan UTAR teruja peranan, tanggungjawab MFD

Oleh Nur Elisa Sasha dan Siti Norshuhaida TAMBAH ILMU…Bagi 18...