KUALA LUMPUR – Seorang wanita sanggup mengambil langkah merantau seorang diri dari Yemen ke Malaysia semata-mata mahu mengejar ilmu.
Ketika menjejakkan kaki di Malaysia pada 2016, Dr. Manal Al-Ashwal Ali Saleh tidak pernah terfikir apakah nasibnya demi mencapai hasrat mengejar ilmu pendidikan dan kehidupan yang lebih baik.
Timbul juga pelbagai persoalan apakah dia mampu membuktikan kemampuannya, tambahan pula dia seorang insan pekak.
Beliau yang berasal dari Taiz, Yemen, ketika itu mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya.
“Namun ketika menjejakkan kaki di Malaysia, saya bernasib baik apabila terserempak dengan sekumpulan orang pekak yang mengadakan program di Tasek Perdana.
“Ketika itulah saya berasa sangat gembira sebab ada komuniti pekak yang senasib dengan saya.
“Ketika itu juga saya mengenali Mohamad Sazali Shaari yang kini merupakan Pengarah Eksekutif Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD),” katanya memulakan perbualan.
Menceritakan lebih lanjut, Manal berkata, sejak mengenali MFD, persekutuan itu banyak membantunya dalam pelbagai urusan termasuk bahasa isyarat dan pelbagai lagi bagi membolehkan dirinya melanjutkan pengajian di Universiti Malaya.
“Melalui MFD, saya mengenali ramai jurubahasa isyarat yang selalu membantu saya.
“MFD dan jurubahasa isyarat ini menjadikan saya umpama ahli keluarga sendiri. Sepanjang masa saya merasa seperti berada di negara sendiri kerana bantuan serta tunjuk ajar di mereka berikan,” katanya.
Menurutnya, MFD tanpa mengira masa sentiasa memberi tunjuk ajar dan nasihat memandangkan diri merantau seorang diri manakala ahli keluarganya berada jauh di Yemen.
“Ketika belajar di Universiti Malaya, MFD dan jurubahasa isyarat jugalah yang menjadi penghubung atau perantara bagi saya mendapatkan pelbagai pertolongan dan maklumat.
“Walaupun pengajian saya tertangguh ekoran penularan Covid-19, namun mereka sentiasa bersama saya.
“Jasa MFD dalam membantu saya amat besar, hinggalah pada September tahun lalu, saya berjaya memperolehi PhD dalam kajian parasit,” katanya sambil mengimbas pelbagai kenangan bersama MFD.
Beliau bekata, selain dapat belajar pelbagai perkara mengenai budaya, bahasa isyarat, tempat di Malaysia dan banyak lagi, dia turut menyertai beberapa program anjuran MFD.
Di samping itu, Manal berkata, melalui Mohamad Sazali dan MFD juga, dia telah diperkenalkan dengan aktiviti dan program Global Deaf Muslim (GDM) yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
“Hubungan rapat dan kerjasama antara MFD dan GDM menjadikan saya lebih mengenali komuniti pekak bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia.
“Terima kasih MFD,” katanya yang berkunjung ke pejabat MFD di Puchong, Selangor sebelum pulang ke tanah airnya di Yemen.