KUALA LUMPUR – Sebanyak 25 peserta menjalani kursus bahasa isyarat dikendalikan oleh Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini.
Kursus selama tiga hari itu bagi memahirkan diri mereka dengan Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

Kalangan mereka yang menyertai kelas bahasa isyarat itu terdiri daripada pelbagai latar belakang.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Shaari ketika merasmikan kelas bahasa isyarat tersebut, turut menyentuh mengenai Akta OKU 2008 bagi memberi gambaran jelas mengenai hak serta keperluan OKU terutama komuniti pekak.

Mohamad Sazali juga berharap melalui kelas bahasa isyarat, peserta terbabit dapat berkomunikasi dan berinteraksi lebih berkesan dengan orang-orang pekak.
Menurutnya, adalah penting ketika berinteraksi dengan orang pekak, mereka disyor tidak menggunakan bahasa berbunga-bunga tetapi sebaliknya terus kepada maksud atau penjelasan bagi memudahkan orang pekak memahaminya.