KUALA LUMPUR – Bagi kalangan pelajar-pelajar perubatan University Of Cyberjaya, dunia pekerjaan yang bakal ditempuhi tidak berapa lama lagi, memerlukan mereka bersiap sedia dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.
Ini kerana, sebagai orang yang akan bergelar doktor perubatan, sudah pasti mereka akan bertemu para pesakit dengan bermacam-macam latar belakang.
Untuk itu, ia tidak terkecuali para pesakit dari golongan orang kurang upaya (OKU) termasuk komuniti pekak.
Sebagai langkah awal, para pelajar terbabit mula belajar bahasa isyarat dari tenaga pengajar Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) yang berpejabat di Puchong, Selangor.

Sebanyak 10 pelajar universiti berkenaan termasuk seorang dari Sudan dan seorang dari Brunei berkesempatan belajar bahasa isyarat sebagai langkah pengenalan.
Sebelum itu, para pelajar terbabit telah diperkenalkan mengenai hala tuju, visi, misi dan peranan organisasi MFD.
Mereka kemudian didedahkan secara asas mengenai bahasa isyarat sambil berinteraksi dengan tenaga pengajar MFD.

Bagi memahirkan lagi bahasa isyarat yang dipelajari itu, kalangan pelajar terbabit kemudian diberi peluang berinteraksi pula dengan kanak-kanak pekak Taska Istika Jaya.
Mereka berinteraksi melalui permainan yang menjadi kegemaran kanak-kanak terbabit.




