SHAH ALAM – Program ‘The KindRED Showcase’ anjuran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mendapat sambutan ramai, ditutup dengan meriah melibatkan kehadiran para pelajar dan pensyarah.
Program anjuran pelajar-pelajar semester akhir jurusan Perhubungan Awam itu bertemakan ‘KindRED: Respect in Communication’ diadakan di Dewan Mawar Qaseh, Kolej Kediaman Mawar di sini.
Ia juga diselitkan dengan pelbagai maklumat termasuk sesi soal jawab bersama pakar perhubungan awam dan komunikasi, selain cabutan bertuah.

Pada program sehari suntuk itu, turut diadakan aktiviti jualan ‘booth’ dari pelbagai pihak termasuk Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).
‘Booth’ MFD sentiasa menjadi tumpuan ramai apabila kalangan pelajar dan pensyarah tertarik untuk belajar dan mengetahui lebih lanjut mengenai Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

Antara tumpuan pada ‘booth’ MFD ialah jualan buku-buku berkaitan bahasa isyarat, di samping jualan produk yang dihasilkan sendiri oleh MFD.
Perasmian penutup program disempurnakan oleh Ketua Pusat Strategik Komunikasi UiTM, Wan Norbani Wan Noordin dengan kehadiran Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Shaari.

Program tersebut antara lain bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai pentingnya berkomunikasi dan menghormati komuniti pekak.
Ia secara langsung memberi pendedahan dan maklumat bahawa komuniti pekak juga sebahagian daripada perkembangan masyarakat dan sehubungan itu orang ramai perlu peka dengan kehadiran mereka.




