TUMPAT – Lahir sebagai insan pekak dan sejak dari kecil hingga remaja, beliau tidak mendapat pendidikan secara formal yang berterusan.
Untuk menyara kehidupan, pelbagai pekerjaan dilakukan hinggalah satu ketika apabila seorang rakannya mengajar cara-cara membaik pulih mesin basuh, peti sejuk dan beberapa barangan lain.
“Saya cuba beberapa pekerjaan untuk mencari pendapatan, namun memang sukar memadangkan saya insan pekak yang tidak mempunyai pendidikan formal.
“Hinggalah ketika berusia19 tahun apabila seorang rakan mengajar saya membaik pulih mesin basuh dan peti sejuk
“Dari situ bermulalah kehidupan saya sebagai pembaik pulih mesin basuh dan peti sejuk,” kata Mohd. Fauzi Ibrahim, 55, menceritakan kisah hidupnya yang diterjemahkan melalui seorang jurubahasa isyarat.
Menceritakan lebih lanjut, Mohd. Fauzi yang ditemui di rumahnya di Kampung Delima Wakaf Bahru di sini berkata, ketika mula-mula belajar membaik pulih mesin basuh dan peti sejuk, banyak perkara perlu diingati.
Menurutnya, dia akan mencuba pelbagai cara bagi membaiki peralatan-peralatan tersebut.
“Bukan mudah untuk mengingati perkara yang diajar. Tambahan pula untuk mencari punca kerosakan.

“Yang penting saya harus mencuba dan jangan berputus asas. Adakalanya sebuah mesin basuh atau peti sejuk akan mengambil masa hingga bermingu-minggu untuk dibaiki.
“Ini termasuk untuk mencari alat-alat ganti yang sesuai,” katanya.
Disebabkan kemahirannya membaiki mesin basuh dan peti sejuk, namanya memang dikenali oleh penduduk Tumpat serta beberapa daerah lain.
Disebabkan itu, pelanggan Mohd. Fauzi ada yang datang dari Kota Bharu dan sebagainya.
Berikutan keadaan itu juga, di pekarangan rumahnya, kini terdapat lebih 20 mesin basuh dan peti sejuk ‘menanti giliran’ untuk dibaiki.
Mohd. Fauzi mampu membaik pulih dua buah peralatan itu dalam masa sehari bergantung kepada peralatan yang diperolehi.
Usaha insan pekak ini turut dibantu oleh seorang anak lelakinya yang boleh mendengar dan berusia 31 tahun.
Dalam menjalani kehidupannya membaik pulih mesin basuh dan peti sejuk, insan pekak ini tidak terlepas daripada ujian.
Kerap kali juga ada sahaja pelanggan yang enggan membayar perkhidmatannya walaupun mesin basuh atau peti sejuk yang dihantar sudah siap dibaiki.
“Ini memang lazim, namun saya yakin rezeki Allah itu tetap ada untuk hambaNya.
“Saya berasa gembira apabila berjaya membaik pulih peralatan pelanggan. Saya dapat bayangkan pelanggan akan tersenyum lebar mendapat semula peralatan yang sudah dibaik pulih itu.
“Inilah kepuasan saya,” katanya mengakhiri perbualan.




