PUCHONG – Selama dua minggu dia menumpukan masa dan perhatian menjadi sukarelawan di Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) di sini.
Yang pasti, dalam tempoh itu juga banyak perkara baharu dipelajari apabila berpeluang berinteraksi dengan orang-orang pekak, selain menimba ilmu dari beberapa jurubahasa isyarat.
“Terima kasih MFD. Banyak perkara baharu saya pelajari.
“Selama ini tidak pernah terfikir saya dapat berinteraksi dengan orang-orang pekak. Di MFD saya dapat memahami dan mengenali orang-orang pekak.
“Di MFD juga saya dapat menimba ilmu mengenai pentingnya bahasa isyarat,” kata Toh Jen Hee, 20, pelajar jurusan Sains Pertuturan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Jen Hee menjadi sukarelawan di MFD selama dua minggu. Antara pengalaman beliau ialah mengenali lebih dekat kanak-kanak pekak Taska Istika Jaya.
Sementara itu, Jee Hee berpandangan adalah penting masyarakat umum mengetahui serba sedikit mengenai bahasa isyarat.
Dengan cara itu, katanya, masyarakat umum dapat memahami dan berinteraksi dengan komuniti pekak.
“Selama dua minggu di MFD, saya dapati orang pekak mempunyai kemampuan yang sama dengan golongan bukan pekak.
“Apabila masyarakat umum tidak mempunyai pengetahuan atau kemahiran mengenai bahasa isyarat, secara langsung wujud halangan antara masyarakat umum dengan komuniti pekak.
“Kerana halangan inilah masyarakat umum menganggap orang pekak tidak mempunyai keupayaan yang sama dengan mereka. Padahal orang pekak mempunyai kemampuan yang sama,” katanya.




