TUMPAT- Tiada apa yang lebih menggembirakan ibu bapa apabila ada kalangan anak-anak walaupun sudah dewasa atau berumah tangga, masih dapat tinggal sebumbung atau setidak-tidak tinggal di rumah bersebelahan.
Itulah yang dibanggakan oleh sebuah keluarga pekak, Yusof Awang Samah, 75, dan isteri, Zainab Awang Kechik, 65.
Pasangan suami isteri itu mempunyai enam orang anak berusia 26 hingga 46 tahun dan dua daripada mereka telah berumah tangga. Tiga daripada anak-anak merupakan orang pekak manakala tiga orang lagi boleh mendengar.
“Inilah kelebihan yang ada apabila kami dapat tinggal sebumbung. Setiap hari boleh bersemuka dan mendengar keluhan anak-anak.
“Walaupun rumah kami sederhana manakala pekerjaan anak-anak serta menantu pula ala kadar tetapi ia mencukupi dan memadai.
“Kami suami isteri begitu senang apabila anak-anak dan menantu dapat bersama,” kata Yusof ketika ditemui di rumahnya di Kampung Delima, Wakaf Bahru di sini.
Keluarga berkenaan ditemui semasa Persatuan Orang Pekak Negeri Kelantan (POPK) menyantuni mereka serta menyampaikan sumbangan beras.
Menurut Yusof, suatu ketika dulu dia pernah menggembala lembu selain mengambil upah menggali kubur.
“Daripada hasil pendapatan yang tidak seberapa itu saya masih mampu membesarkan anak-anak,” katanya.
Namun dengan usianya yang semakin meningkat, pekerjaannya itu diteruskan pula oleh salah seorang anak lelakinya.
“Saya sudah tak larat lagi namun kini pekerjaan menggembala lembu serta mengambil upah menggali kubur diteruskan oleh seorang anak lelaki saya,” katanya yang diterjemahkan menerusi jurubahasa isyarat..
Menjawab pertanyaan, Yusof memberitahu, tinggal beramai-ramai di bawah satu bumbung banyak kelebihannya.
“Antaranya hubungan kekeluargaan lebih rapat dan masing-masing sentiasa menjaga keperluan ahli keluarga yang lain.
“Dengan 1 Syawal yang hampir tiba, kami dapat terus berkumpul untuk menyambutnya,” kata Yusof.




