KUALA LUMPUR – Pengalaman baharu, umpama berada dalam dunia serba baharu.
Itulah yang dilalui oleh 33 kakitangan Perbendaharaan yang menjalani kursus bahasa isyarat di sebuah hotel di Bangi dekat sini.
Sebelum ini tidak pernah terlintas dalam fikiran mereka apa itu bahasa isyarat.
Setelah berkesempatan mempelajari Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) dikelolakan oleh tenaga pengajar Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD), barulah kakitangan Perbendaharaan itu sedar betapa pentingnya bahasa isyarat bukan sahaja untuk berinteraksi dengan orang pekak, malah mengenali dunia serta budaya hidup mereka.

Selama ini, tanpa pengetahuan bahasa isyarat, kalangan masyarakat umum hanya dapat memandang apabila ada seseorang yang berinteraksi menggunakan bahasa isyarat.
Kalangan kakitangan Perbendaharaan itu menjalani kursus bahasa isyarat dengan mempelajari pelbagai perkara termasuk abjad, nombor kiraan, nama tempat dan banyak lagi.
Yang lebih menarik, setiap peserta berkenaan dapat berinteraksi dengan tenaga pengajar MFD menggunakan bahasa isyarat.

Malah, sesi soal jawab turut diadakan termasuk setiap peserta memperkenalkan diri masing-masing termasuk asal usul mereka.
Bagi memahirkan setiap peserta berkenaan, tenaga pengajar MFD turut mengadakan kuiz menggunakan bahasa isyarat dan sesi ini amat menceriakan setiap peserta.
Di akhir sesi kelas bahasa isyarat itu, kalangan kakitangan Perbendaharaan itu yakin mampu berinteraksi dengan komuniti pekak selain mengenali dunia serta budaya hidup mereka.




