PUCHONG – Pembuka tirai tahun 2026, menyaksikan Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) tidak sekali-kali membuang masa, sebaliknya terus mengadakan pelbagai aktiviti demi masa depan komuniti pekak.
Ini dapat dilihat apabila usaha menerbitkan buku poket Bahasa Isyarat Malaysia (BIM) berkaitan isyarat-isyarat menjurus kepada kesihatan, dimantapkan lagi melalui satu bengkel khas di sebuah hotel di sini.
Bengkel tersebut yang meneliti dan memperincikan lagi isyarat-isyarat berkaitan kesihatan telah mendapat kerjasama KPJ berikutan kehadiran wakil organisasi tersebut.
Lebih 365 isyarat berkaitan kesihatan telah diperinci serta dimantapkan lagi dalam bengkel berkenaan.

Melalui bengkel sehari suntuk itu, setiap peserta termasuk dari kalangan pakar berkaitan dan orang pekak, telah memberi pandangan masing-masing bagi memastikan isyarat-isyarat kesihatan yang digunakan kelak adalah tepat.
Menjadi harapan MFD dan pihak KPJ, penerbitan buku BIM Kesihatan itu bukan sahaja dapat digunakan oleh komuniti pekak, malah dalam kalangan pengamal kesihatan dan perubatan seperti doktor, jururawat dan sebagainya.
Dengan kata lain, buku BIM Kesihatan itu dapat mewujudkan pemahaman antara komuniti pekak dan pengamal kesihatan.
Turut memberi pandangan pada sesi bengkel berkenaan ialah Presiden MFD, Mohd. Norhisham Aluwi dan Pengarah Eksekutif MFD, Mohamad Sazali Shaari.
Dalam pada itu, Mohamad Sazali ketika berucap melahirkan rasa gembira kerana bengkel tersebut melibatkan penyertaan serius semua pihak dalam memberi pandangan serta pendapat.

Di samping itu, kata Mohamad Sazali, banyak lagi usaha dan cabaran bakal menanti MFD dan seluruh komuniti pekak sepanjang tahun 2026 ini.
Jelas beliau, setiap usaha dan aktiviti mahupun program dilakukan oleh MFD adalah demi kepentingan dan masa depan komuniti pekak,
Ini kerana menjadi harapan MFD untuk membantu agar kehidupan orang pekak bertambah baik termasuk dari segi kesihatan, pekerjaan dan sebagainya.
Sehubungan itu, katanya, adalah penting setiap komuniti pekak di seluruh negara bersatu hati dengan melibatkan diri serta menyokong aktiviti serta usaha-usaha dilakukan oleh MFD.




